Adat Istiadat Silat Seni Gayong

Mandi Perlimau Sintuk Tapak

 

 

 

 

Perlimau Sintuk Tapak adalah di mana pelatih hanya dibenarkan mempelajari ilmu Seni silat Gayong setakat pelajaran Tapak Gayong sahaja.

 

 

 

Perlimau Sintuk Seni merupakan peringkat penuntutan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Pelatih akan memperoleh perbezaan dalam penuntutan ilmu (dibenarkan mempelajari ilmu Seni silat Gayong setinggi mana yang mampu, termasuklah bermain apa jua senjata dan ilmu kebatinan – tertakluk kepada syarat-syarat tertentu), kedudukan, dan mulai memegang tanggungjawab.

Dalam upacara ini, pelatih dikehendaki bersih daripada hadas kecil dan besar(berwuduk).

Mandi Perlimau Sintuk Seni

Adat Menghadap Bertapak / Mengambil Tapak​

 

 

 

 

Menghadap bertapak / mengambil tapak dilakukan semasa:
1. Penerimaan penabalan
2. Memohon izin bergelanggang
3. Memberi hormat kepada majlis

Adat

Membuka dan Menutup Gelanggang 

Latihan dimulakan dengan adat membuka gelanggang dan diakhiri adat penutupan gelanggang. Upacara ini disempurnakan dengan membaca ayat-ayat berikut:

  1. Surah Al-Fatihah (1 kali)
  2. Surah Al-Ikhlas (11 kali)
  3. Selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. (3 kali)
  4. Berdoa semoga dijauhkan segala bahaya dan niat khianat iblis, jin, manusia dan binatang serta memohon diberkati pelajaran yang dituntut.
  5. Doa kesyukuran kerana latihan ditamatkan dengan baik daripada mula hingga akhir dan semoga mendapat keredhaan serta rahmat Allah s.w.t.
  6. Jika ada berkat doa dan bacaan-bacaan yang dibacakan, ianya dihadiahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., sekelian Rasulullah, nabi-nabi, wali-wali, al-marhum Dato’ Mahaguru serta zuriatnya, kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat murid Gayong serta seluruh murid dan ahli Gayong yang telah meninggal dunia baru atau lama.

Adab Dalam Gelanggang

Antara perkara yang mesti dipatuhi murid semasa berada di dalam gelanggang:
1.Tidak meludah
2.Tidak memakai alas kaki
3.Tidak bergurau senda
4.Meminta izin daripada Imam Gelanggang jika ingin keluar daripada gelanggang atau ingin ……bertemu seseorang di luar gelanggang
5.Menghormati rakan-rakan dalam latihan
6.Tidak makan atau minum

Bengkung, tengkolok dan sandang hendaklah ditanggalkan dan disimpan di tempat yang elok semasa menikmati juadah atau makanan.

Khatam/Tamat

Pelajaran Permainan Seni Keris

Keris mempunyai keistimewaan dalam sejarah Melayu kerana ia lambang kekuatan dan kependekaran pahlawan-pahlawan Melayu zaman silam, misalnya Hang Tuah lima bersaudara. Permainan keris mempunyai rahsia dan nilai seni yang halus lagi tersendiri serta tidak sama dengan senjata-senjata lain. Malah permainan senjata keris amat berbahaya dan sememangnya susah untuk mengendalikan lawan yang hebat bermain keris.

Upacara perkhataman seni keris diadakan di laut (di tepi pantai). Perkhataman di laut merupakan salah satu adat-istiadat Seni Gayong dan juga merupakan cubaan atau dugaan terakhir kepada murid-murid Gayong setelah mereka tamat latihan menggunakan senjata tikam seperti keris.

Mandi Minyak

Mandi minyak ini bukanlah suatu amalan kebatinan untuk menjadi kebal sepertimana yang sering digembar-gemburkan oleh pelbagai pihak sehingga seni silat sering disalahtafsirkan. Mandi minyak merupakan satu amalan tradisi masyarakat Melayu yang bertujuan untuk pengubatan dan menyihatkan badan. ketika upacara ini dijalankan ahli-ahli gayong hanyalah menyepuh minyak panas di dalam kawah dan kemudiannya diurut ke seluruh badan. Amalan mandi minyak dikatakan mampu memberikan suatu daya tahan kepada bisa dan kepanasan.

Upacara mandi minyak dimulai dengan adat buka gelanggang terlebih dahulu. Mandi minyak adalah dikawal oleh guru-guru tua bermula daripada kelapa dibelah yang mana kesemua kerja-kerja membelah, mengopek dan memasak minyak kelapa dilakukan sepenuhnya oleh mereka. Mereka hendaklah berkeadaan suci dari hadas besar atau kecil serta telah bersembahyang sunat sebelum menjalankan kerja-kerja tersebut.

Semasa kerja-kerja memasak tersebut dijalankan, gurulatih-gurulatih dan ahli-ahli gayong yang terlibat akan berterusan membaca surah Al-Ikhlas sehinggalah upacara selesai. Ini adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah semoga peseni silat dapat diasuh dan dibaja dengan didikan Al-Quran seterusnya melahirkan peseni silat Gayong yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Islam.

Update Contents
PSSGM Kebangsaan Official We would like to show you notifications for the latest news and updates.
Dismiss
Allow Notifications