Perutusan Yang Dipertua PSSGM Kebangsaan

Utusan Pengerusi

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyokong pergerakan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan. Laman Web Rasmi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) merupakan satu bentuk sumbangan teknologi untuk ahli-ahli PSSGM Kebangsaan khasnya mendapatkan maklumat dan info terkini mengenai semua bentuk aktiviti, pelajaran, adat istiadat serta perkembangan organisasi PSSGM Kebangsaan.

Dengan kewujudan laman rasmi ini, diharapkan ia dapat membantu memudahkan urusan pengurusan pendaftaran ahli baru, pengeluaran sijil-sijil, bekalan bengkung dan pakaian, pembangunan gurulatih, perluasan dan penambahan gelanggang, pendaftaran cawangan daerah dan negeri, dan pembangunan kecekapan pengurusan. Kami merancang yang terbaik untuk warga dan berserah kepada Allah menentukan segalanya.

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan akan sentiasa mendokong dan menyokong semua dasar-dasar kerajaan bagi memastikan kecemerlangan dan kegemilangan negara akan dapat dicapai dengan lebih cepat terutama dari aspek pembangunan modal insan generasi muda. Melalui kegiatan silat anak-anak muda akan terbangun dalam diri mereka nilai-nilai yakin diri, semangat juang, setia kawan, taat kepada pemimpin dan cinta kepada negara. Nilai-nilai ini, Pertubuhan yakin bahawa ia mempunyai peranan yang signifikan dalam membentuk anak muda yang berpotensi untuk cemerlang sebagai global players dalam apa jua bidang yang diceburinya.

Saya amat percaya Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan berupaya untuk mendokong misi yang dinyatakan. Untuk tujuan itu Pertubuhan perlu memberi fokus dalam memainkan peranan sebagai agensi pembangunan dan perubahan sosial demi kepentingan masyarakat, negara dan agama.

Sekian. Semoga Allah sbt memberkati segala usaha kita.

CIKGU MOHAMED FAID BIN HAJI MUSA
Yang Dipertua,
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan.

Update Contents
PSSGM Kebangsaan Official We would like to show you notifications for the latest news and updates.
Dismiss
Allow Notifications